Oleh Mahanum Abdul Aziz â€“ Februari 9, 2023 @ 9:22pm
mahanum_aziz@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kota Semarak, projek pembangunan bercampur bertingkat tinggi terletak di ibu negara memberi pilihan menarik kepada pembeli rumah yang mahukan kediaman dengan persekitaran mesra alam dan lestari.

Projek itu dibangunkan TH Properties Sdn Bhd (TH Prop) dan Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) menerusi syarikat usaha sama dikenali 59 Inc Sdn Bhd (59 Inc).

Dilengkapi teknologi moden dan hijau, hartanah berkenaan juga mampu milik dengan harga dijangka bermula RM570,000 dan ke atas.

Projek yang terletak di atas tanah seluas 10.9 hektar di Jalan Sultan Yahya Petra atau sebelum ini dikenali sebagai Jalan Semarak akan dibangunkan dalam tiga fasa.

Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sejumlah RM3.1 bilion, pembangunan itu terdiri daripada komponen pangsapuri perkhidmatan, pejabat kedai dan pusat beli-belah.

Fasa 1A akan mempunyai sejumlah 1,226 unit pangsapuri perkhidmatan, termasuk 100 unit Projek Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP), di empat menara dan 87 unit pejabat kedai.

Kota Semarak menawarkan reka bentuk kontemporari dan bersesuaian bagi unit yang mempunyai dua hingga empat bilik tidur, bersaiz antara 802 kaki persegi hingga 2,400 kaki persegi, dengan susun atur yang teliti untuk memaksimumkan akses kepada pemandangan panorama.

Selain ciri-ciri yang dicadangkan seperti stesen pengecas kenderaan elektrik, stesen skuter Beam, keselamatan pelbagai peringkat, sistem pengurusan sisa pepejal dan penuaian air hujan, pembeli hartanah Kota Semarak boleh menjangkakan kemudahan gaya hidup bandar dan infrastruktur yang komprehensif kerana lokasi pembangunannya yang strategik.

Ia terletak hanya lima kilometer dari KLCC dan akses mudah ke Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (DUKE).

Pembeli juga boleh memanfaatkan persekitaran hijau dan Taman Rekreasi Ayer Panas yang berdekatan selain kemudahan seperti Taman KLCC, Kelab Golf Titiwangsa PDRM dan Lapangan Golf Setapak.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH Prop dan Pengarah 59 Inc, Azman Ibrahim, berkata pelbagai fasiliti berhampiran memudahkan penduduk bandar yang sibuk untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

Beliau berkata, pihaknya percaya bahawa kemudahan sedemikian akan menarik minat golongan muda profesional dan keluarga kecil yang ingin menikmati kualiti hidup yang lebih baik.

“Di samping itu, Kota Semarak juga sesuai untuk pelaburan jangka panjang kerana ia berdekatan dengan hospital dan institusi pendidikan terkemuka seperti Hospital Kuala Lumpur, Institut Jantung Negara dan UTM Kuala Lumpur,” katanya.

Selain Kota Semarak, pembangunan lain oleh TH Prop adalah termasuk Tierra di Bandar Warisan Puteri 2, Seremban, Techpark, The Villas, Hundred East dan Pristine 3 di Bandar Enstek, serta Pesisiran Residences di Kuantan, Pahang.

TH Prop ialah anak syarikat milik penuh Lembaga Tabung Haji (TH) dan adalah pemain berpengalaman dalam industri yang telah aktif sejak 1980 melalui penubuhan Syarikat Pembinaan dan Perumahan Tabung Haji Sdn Bhd.

Pada masa ini, bidang kepakaran utamanya ialah pembangunan hartanah, pembinaan dan pengurusan kemudahan.

Perbandaran terbesarnya buat masa kini adalah Bandar Enstek di Negeri Sembilan seluas lebih 2,000 hektar.

Terletak berhampiran KLIA dan klia2, Bandar Enstek adalah perbandaran matang dengan lebih 1,784 rumah yang sudah siap dan diserahkan kepada pemilik sejak pembinaannya pada 1999.

Source: https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2023/02/1062104/kota-semarak-tawar-persekitaran-mesra-alam-lestari

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *